Berderai air mata Arifa tatkala mendengar qabul yang dilafazkan oleh Iffat. Puan Faridah dan Puan Khalidah memeluk Arifa. Linangan air mata mereka juga membasahi pipi.
"Tahniah anakku. Akhirnya puteri tunggal ummi bertemu jodoh juga. Ingat sayang, jadilah isteri yang solehah kelak. Jangan ingkar cakap suami, ya." Bisik Puan Faridah ke telinga Arifa. Tiada kata yang terluah oleh Arifa mendengar pesan daripada umminya. Dia tahu, lepas ini dia mempunyai tugas yang sangat besar untuk digalas.
"Mak cik Lida doakan Arie sentiasa bahagia bersama Iffat.Semoga ALLAH melindungi rumah tangga kalian. Selamat berjaya dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, ya. Mak cik Lida tak nak nanti Arie dengan Iffat jadi macam mak cik, ya?" Arifa mengangguk tanpa membalas dengan kata-kata. Dia tahu, rumah tangga yang Mak cik Lida bina bersama bekas suaminya ditimpa badai di tengah jalan. Ekoran itu, Mak cik Lida ditinggal oleh suami begitu sahaja.
"Sudah-sudah la tu Lida, Idah oii. Iffat dah sah jadi menantu kita. Lap air mata kamu berdua, malu menantu kita nampak." Tegur Encik Farid dalam nada berseloroh. Encik Farid muncul bersama Iffat, Dato' Adzhar dan Datin Sarah di sisinya.
"Minta maaf, ya Iffat. Ummi emotional sangat tadi. Biasalah, anak perempuan. Tunggal pulak tu." Faridah melemparkan senyuman buat menantunya yang baru sah beberapa minit tadi.
"Tak apalah ummi. Iffat faham perasaan ummi." Iffat membalas. Dia menoleh sejenak ke arah Arifa yang dari tadi asyik menundukkan wajahnya. Sedih barangkali kerana terpaksa bernikah dengan lelaki yang tidak dicintainya. Pasti bayangan Hanif bermain di fikiran gadis itu.
Hati Iffat mulai tidak keruan memandang wajah comel Arifa yang hanya dihiasi dengan solekan nipis. Jelas terserlah kecantikannya. Mana-mana lelaki yang memandang pasti akan cair melihat Arifa. Cepat-cepat Iffat mengalihkan pandangan matanya ke arah lain. Tidak sanggup menahan degupan jantung yang semakin kencang.
"Iffat, tunggu apa lagi? Sarungkan la cincin tu pada jari Arifa. Yang termenung lagi tu kenapa?"omel Datin Sarah.
Iffat bagaikan baru tersedar daripada lamunannya segera menuruti perintah mamanya. Disarungkan cincin yang bertatahkan permata mahal yang diimport daripada London, khas untuk perkahwinannya dengan Arifa. Cincin itu disarungkan ke jari manis Arifa. Dengan penuh hormatnya mencium tangan suaminya setelah menyambut huluran salam lelaki tersebut. Bagaikan disiram air dingin, tatkala bibir munggil Arifa menyentuh lembut belakang tangannya. Lantas dahi isterinya dikucup penuh syahdu.
Ah, kacau ni. Baru hari pertama dia dah tumpaskan aku. Ini memang tak boleh jadi. Kau mesti kuat, Iffat. Selama ini, kau langsung tak tergoda dengan mana-mana perempuan yang terhegeh-hegeh kat kau, takkan Arifa Safiyyah menjadi orang pertama? Tak! Ianya tidak akan pernah terjadi. Hati Iffat makin tidak keruan memandang si isteri. Terasa ada kelainan tatkala matanya dan mata Arifa bertemu.
Arifa berjalan ke hulu dan ke hilir memikirkan telefon bimbitnya yang ghaib tiba-tiba sejak beberapa hari lepas.
Iffat masuk dalam bilik itu tanpa disedari oleh Arifa. Arifa yang bertudung itu masih tidak mahu menanggalkan litupan di kepalanya itu.
"Ha.. Kau ni apa hal? Ke sana sini, macam mak kucing mati anak je." Tegur Iffat. Hampir terjerit Arifa mendengar teguran Iffat itu. Mana tidaknya, sejak tadi dia hanya berseorang dalam bilik itu. Terkejut Arifa dengan kehadiran suara lelaki yang tiba-tiba muncul dalam bilik itu.
"Pakwe kau tahu kau dah kahwin, ya? Tu yang risau semacam,ni?" duga Iffat yang menyembunyikan tawanya dengan wajah selamba.
"Awak ni kenapa? Apa kena mengena dengan pakwe pulak ni?" Rasa sakit hati pada Iffat semakin bertambah pula. Kata-katanya sungguh menyengat.
"Hey, apsal kau panggil aku mafia? Pelik aku. Biasanya orang tak habis-habis puja-puji aku. Kau ni pelik. Lain macam, tau tak?" Iffat tunak memandang Arifa yang sudah melabuhkan punggung ke katil.
"Malas saya nak layan kerenah awak ni. Buang masa je." Arifa berlalu ke balkoni bilik mereka.
"Well, kalau kau malas nak layan aku, aku pun 1000 x lebih malas nak tengok muka kau. Anyway, thaks sebab dah bagi pinjam phone." Iffat berwajah selamba meletakkan telefon bimbit Arifa di atas katil lalu beredar ingin meninggalkan bilik tersebut.
Tiba-tiba dia berpaling dan melihat Arifa yang sedang menahan geram. "Sebelum terlupa, Hanif Tan Sri Malek kirim salam kat kau." Pantas Iffat meninggalkan bilik itu.
Arifa mengetap gigi mendengar kata Iffat. Kenapa lelaki itu suka mencampuri urusan peribadinya? Mahu saja ditengking lelaki itu jika dia tidak berstatus isteri kepadanya.
Cepat-cepat Arifa memeriksa inboxnya setelah Iffat hilang di sebalik pintu. Terkejut Arifa apabila mendapati cuma mesej terakhir daripada Hanif sahaja yang tinggal di dalam inbox telefon bimbitnya. Arifa keluar dari bilik dan mengatur langkah mencari Iffat.
"Apa yang awak dan Hanif bincangkan? Kenapa awak delete mesej-mesej yang Hanif bagi?" Arifa menegur Iffat yang sedang leka memberi ikan makan di dalam kolam ikan peliharaannya.
"Tak ada apa yang penting. Kau tak berhak tahu pun. Sibuk je la kau ni. Pergi main jauh-jauh, kacau je aku nak sorang-sorang kat sini." Iffat tidak langsung memandang wajah Arifa. Buat apa dia tengok kalau hanya menambahkan getaran pelik di hatinya. Makin sakit dia nanti.
"Iffat Zaquan, saya tengah cakap baik-baik dengan awak sekarang ni. Saya tak minta banyak pun. Saya cuma nak tahu perkara yang awak dan Hanif sembangkan. Susah sangat ke nak penuhi permintaan saya yang mudah tu?" Arifa masih lagi mengawal suaranya. Tangannya digenggam kuat, menahan geram.
"Penting sangat ke Hanif Tan Sri Malek tu dalam hidup kau? Kau lupa ke yang kau tu dah kahwin? Tak boleh ke kau lupakan kekasih lama kau tu?" Iffat semakin mendekati Arifa sementara Arifa pula sudah semakin ke belakang kerana takut melihat ekspresi wajah Iffat yang mulai bertukar serius. Tidak pernah Arifa melihat wajah lelaki itu sebegitu sebelum ini.
"Iffat, awak tak ada hak nak halang..."
"Siapa kata aku tak ada hak nak halang kau kawan dengan siapa? Ingat, kau tu isteri aku! Faham?!" Iffat mencengkam kuat lengan Arifa.
Arifa sudah mengaduh kesakitan numun begitu, Iffat tidak menghiraukan langsung.
"Mulai hari ni, jangan berani kau lawan cakap aku. Kau dengar tak?" Arifa hanya tunduk. Kepalanya diangguk perlahan kerana takutkan Iffat.
Iffat melepaskan cengkamannya di lengan Arifa. "Dah, blah sekarang." Iffat mengalihkan pandangannya ke arah lain. Entah mengapa, kesian pula dia melihat Arifa yang kesakitan akibat cengkamannya tadi.
Arifa memandang Iffat sekilas sebelum mengorak langkah meninggalkan taman kolam ikan
itu. Mengapalah dia dipaksa mengahwini lelaki pelik seperti Iffat? Tiba-tiba saja angin monsun timur laut lelaki itu datang tak tentu pasal. Bibit-bibit menyampah kepada lelaki bernama Iffat Zaquan mulai bersemai di hatinya. Arifa meneruskan langkahnya.
Tiba-tiba ada tangan yang menyentap lengannya dengan kasar dari arah belakang. Badan Arifa terdorong ke belakang. Chup...satu ciuman nakal singgah di bibirnya.
"Iffat Zaquan,.. awak..." Lidah Arifa kelu untuk meneruskan kata. Matanya membuntang memandang Iffat yang hanya berlagak selamba di hadapannya. Jemarinya menyentuh bibir yang baru diragut sebentar tadi. Iffat berjalan meninggalkan Arifa yang masih lagi terkejut dengan kejadian beberapa minit lapas. Anak mata Arifa mengiringi pemergian Iffat.
Iffat menghentikan Ferrari 458 Spider merah miliknya di bahu jalan. "Iffat, apa yang kau buat tadi? Menjatuhkan maruah kelakian kau saje. Nampak sangat kau senang cair dengan perempuan tu. Bodoh betul!!!" Iffat memukul kuat stereng keretanya. Geram sungguh dia. Geram? Pada siapa? Adakah dia geram pada Arifa? Tetapi kalau ya, apa kesalahan perempuan itu terhadapnya? Adakah dia geram pada dirinya sendiri kerana tidak dapat mengawal diri lalu menyambar bibir merah delima milik Arifa? Entahlah. Iffat juga tidak dapat mencari jawapan yang pasti. Wajahnya diraup dengan kedua-dua tapak tangannya.
Arifa duduk seorang diri di tepi kolam renang di rumah agam mewah mertuanya. Penat dia memikirkan nasib yang bakal menimpa dirinya kelak sepanjang bergelar sayap kiri kepada seorang lelaki bernama suami. Suami? Pasti Iffat Zaquan tidak mengiktiraf dirinya sebagai seorang isteri. Walaupun ucapan qabul telah beberapa jam yang lalu meniti di bibir Iffat, status dirinya sebagai orang luar bagi lelaki itu tetap tidak akan berubah.
Air mata yang mengalir di pipinya dilap kasar. "Arie... tolonglah jangan bazirkan air mata demi mafia tu. Buang masa, buang air dalam badan je. Kuat. Kau kena kuat, Arie. Haih, apa hal pulak tak berenti air mata ni. Stop la..." tangannya masih lagi asyik mengelap air mata yang makin galak keluar dari tubir matanya yang cantik galak.
Tanpa disedari, sepasang masa asyik memandangnya dari jauh. Segaris senyuman terhias di wajah Taufiq. Perlahan-lahan dia mendekati adik iparnya.
"Tak payah halang air mata tu jatuh. Let them run freely on your cheek. Itu lebih baik." Taufiq membuang pandangannya ke arah langit, memandang keindahan ciptaan Tuhan pada malam itu.
Arifa tersentak. Segera dia berpaling untuk melihat gerangan yang menegurnya. Taufiq, abang Iffat berdiri di belakangnya sambil menyilang lengan.
"Encik Taufiq tak tahu apa-apa." Arifa menggagahkan dirinya untuk berkata-kata. Pandangan ke Taufiq kini dialihkan ke kolam renang semula.
"Are you sure? Ah, lantaklah... Yang pasti, hari ni kau menangis sebab berstatuskan isteri kepada seorang lelaki bernama Iffat Zaquan bin Dato' Adzhar Kharuddin. Tapi kau patut bersyukur sebab itu tak la seteruk mana jika nak dibandingkan dengan nasib aku. Hari ni aku manangis sebab hilangnya perkataan cinta dari hidup aku." Arifa terkedu mendengar pengakuan Taufiq. Lelaki ni putus cinta ke? Detik hatinya.
"Nah, menangis puas-puas. Aku tutup lampu tepi ni, biar orang tak nampak kau menangis." Taufiq menghulurkan sapu tangan bewarna coklat lembut kepada Arifa. Arifa teragak-agak untuk mengambilnya. Setelah sapu tangan itu bertukar tangan, Taufiq segera melangkah meninggalkan kawasan kolam renang itu.